Sunday, 24 July 2011

> 'Kopi Janda' bukan Hina Maruah Wanita

KUALA LUMPUR
22 Okt. 2009

Nama Kopi Janda bukan bertujuan menghina maruah wanita tetapi sebagai satu pengiktirafan terhadap kehebatan dan kecekalan golongan tersebut mengharungi kehidupan.

Pengurus Besar Janda Produk Marketing, Md. Zulaimi Kazin menegaskan, mengabadikan nama 'janda' pada jenama produk kopi keluaran syarikatnya itu sebenarnya sebagai satu cara mengangkat imej golongan tersebut supaya tidak terus dipandang negatif oleh segelintir masyarakat.

Katanya, ilham nama Kopi Janda tersebut diperoleh semasa mengadakan lampias minda bersama empat lagi rakan jurutera perunding beliau di Jitra, Kedah pada 2007.

Jelas beliau, nama Kopi Janda sudah didaftarkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia sejak 23 Februari 2007 dan boleh digunakan sehingga 23 Februari 2017.

Menurutnya, perniagaan produk itu juga sudah diluluskan pendaftaran oleh Suruhanjaya Syarikat di bawah nama Janda Produk Marketing Disember tahun lalu.

''Bagi kami janda adalah simbol ketabahan, kecekalan, ketabahan dan kekuatan. Adalah tidak adil imej janda dilihat daripada sudut negatif semata-mata, sedangkan kebanyakan mereka sangat tabah menjaga keluarga.

''Oleh itu, tidak ada sebab untuk kami menarik nama 'Kopi Janda', sebaliknya akan tetap mempertahankan jenama kopi tersebut walaupun ada yang mempertikaikan,'' kata bekas jurutera perunding itu ketika mengunjungi ibu pejabat akhbar Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas teguran Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd. Dun semalam yang meminta nama Kopi Janda pada produk kopi tersebut dihentikan kerana ia tidak sesuai dengan budaya masyarakat negara ini.

Menurut beliau, penggunaan nama itu jelas sekali tidak menjaga sensiviti kaum wanita.

Ujarnya, konotasi negatif seperti Kopi Janda sangat tidak baik terhadap kaum wanita yang telah bercerai.

Penggunaan nama itu, menurut Azizah, seolah-olah rakyat Malaysia ketandusan idea sehingga terpaksa menggunakan perkataan yang boleh menyinggung sesetengah pihak.

Mengulas lanjut, Md. Zulaimi berkata, sesuai dengan motto Kopi Janda 'Bukan Nak Menggoda Cuma Nak Berniaga', syarikatnya telah membuka peluang kepada usahawan wanita terutama golongan ibu tunggal menjadi agen menjual produk tersebut.

Katanya, beliau sedia memberi penjelasan kepada mereka yang mempertikaikan penggunaan nama tersebut supaya tidak disalahtafsirkan.

''Sebelum ini, memang ada wakil persatuan ibu tunggal mempertikaikan nama Kopi Janda, tetapi kami telah membuat penjelasan. Akhirnya mereka juga boleh menerima dan memahaminya,'' katanya.

Menurut beliau, Kopi Janda yang dipasarkan sejak Disember lalu mendapat sambutan daripada pengguna pelbagai lapisan masyarakat.

''Setiap bulan 10 tan metrik Kopi Janda berjaya dijual di pasaran oleh 13 stokis kami di seluruh negara,'' katanya.

Katanya lagi, Kopi Janda akan memasuki pasaran di Indonesia pada tahun depan bersama dengan beberapa lagi produk keluaran syarikatnya.

UTUSAN MALAYSIA
Arkib: 23/10/2009

Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1023&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_12.htm