Wednesday 20 July 2011

> Usahawan Kopi Janda (Petikan: myMetro)








SYARIKAT yang memperkenalkan produk Kopi Janda, Janda Produk Marketing Sdn Bhd (JPMSB) terus mengukuhkan sayap pemasarannya di seluruh negara apabila membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan untuk menjadi ejen jualan dikenali Skuad Cakna Kopi Janda.

Ketua Eksekutifnya, Md Zulaimi Kazin berkata, sekarang syarikatnya memiliki 27 ejen di seluruh Semenanjung dan menyasarkan meningkatkannya kepada 45 skuad menjelang akhir tahun ini. Katanya, syarikat menggunakan strategi penembusan pasaran menerusi Skuad Cakna Kopi Janda supaya pihaknya boleh berurusan terus dengan pembeli yang terdiri daripada pengusaha kedai makanan, minuman dan runcit.

“Kami percaya menerusi ejen jualan seperti ini akan memberi jalinan dan hubungan lebih baik antara syarikat dengan pengusaha kedai, selain boleh memahami kehendak pelanggan dengan lebih jelas.

“Lebih istimewa mereka yang terpilih menjadi skuad akan diberi elaun makanan, petrol, komisen jualan dan juga Perodua ViVa bagi menjalankan pemasaran di lokasi ditetapkan syarikat,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, menerusi skuad itu juga, pihaknya akan mendidik ejen jualan yang berminat dalam bidang perniagaan untuk menjadi usahawan.

Md Zulaimi berkata, bagi memantau perjalanan Skuad Cakna, syarikat melantik pengurus kawasan yang dikenali sebagai khalifah yang mengawal tiga hingga lapan ejen jualan dalam kawasan yang ditetapkan. “Untuk membentuk bakal usahawan berdedikasi, syarikat juga memperuntukkan RM150,000 bagi melaksanakan latihan keusahawanan kepada ejen jualan dan khalifah yang terpilih.

“Menerusi 45 Skuad Cakna yang disasarkan tahun ini juga, kami menyasarkan jualan 90,000 papan Kopi Janda tahun ini dengan anggaran jualan RM1.6 juta,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mengeluarkan minuman Kopi Janda dalam tin yang dijangka dilaksanakan tahun depan dengan sasaran jualan RM500,000 pada tahun pertama. Sementara itu, syarikat terbabit turut merancang membina Kompleks Pengilangan Bersepadu di kawasan seluas dua hektar di Pulai Chondong, Kelantan yang akan dimulakan pembinaannya akhir tahun ini. “Pembinaan kompleks ini dianggarkan bernilai RM2 juta yang mempunyai kapasiti lebih besar bagi menyimpan stok bahan mentah dan produk siap. Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh menghubungi 03-41471561 / 41475771,” katanya.

Sumber: